No. 2, Jalan Kampung Padang Sejahtera 2, Taman Kampung Padang Sejahtera, 25200 Kuantan, Pahang.
Tel : 019-9555028 FB : Tadika Permata Hidayah

Blog ini menghimpunkan nukilan pena guru, staf dan ahli lembaga TPH berkaitan pengalaman dan perkongsian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Moga bermanfaat buat semua.

Thursday 20 April 2017

Teddy Bear Hospital di Permata Hidayah!



Alhamdulillah, pada 19 April 2017 anak-anak Tadika Permata Hidayah telah bermain sambil belajar menerusi aktiviti 'Teddy Bear Hospital' atau 'Klinik Veterinar di TPH'. Sejak awal pagi lagi, anak-anak begitu teruja dan ternanti-nanti aktiviti ini.

Setiap pelajar diberi peranan mengikut watak dan peran masing-masing. Ada yang menjadi doktor, staf hospital dan pesakit yang membawa haiwan peliharaan masing-masing. Anak-anak membawa patung masing-masing untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Melalui aktiviti ini, anak-anak diberi ruang yang selesa dan interaktif untuk berkomunikasi. Kemahiran berbahasa, menambah kota kata (vocabulary), dan bijak memainkan peranan. Aplikasi matematik turut diterapkan termasuklah menimbang berat dan mengukur panjang.

Bermula dengan kaunter pendaftaran, anak-anak perlu menjawab soalan asas tentang haiwan yang dibawa dan diberikan sekeping kad pemeriksaan. Setiap kad pemeriksaan diberikan nombor giliran.

Mereka kemudian bergerak ke ruangan menunggu dimana nombor akan dipanggil. Alhamdulillah, pelajar 4 tahun juga dapat memahami situasi ini dan menanti dengan penuh disiplin!

Setelah nombor dipanggil, mereka akan memasuki bilik doktor yang bertugas. Di sini, komunikasi antara pelajar (doktor dan penjaga) berjalan sesuai imiginasi mereka. Ada kucing yang sakit perut. Ada harimau yang patah kaki. Ada penyu yang cedera dan macam-macam lagi! Akhirnya, doktor akan memberikan preskripsi mengikut sakit yang dihadapi.




Sebelum keluar dari klinik, mereka perlu ke kaunter farmasi untuk mengambil ubat yang ditetapkan. Setelah melalui semua kaunter, anak-anak akan keluar dari klinik untuk pulang ke kelas masing-masing. Di sini mereka akan bermain secara bebas. Ada yang berbual mengenai penyakit patung masing-masing. Ada yang menyambung rawatan. Ada yang memberi makan dan rehat. Tidak kurang juga, anak-anak lelaki yang bermain lawan-lawan kerana patung mereka telah sihat! :)



Aktiviti hari ini berjaya mencapai tujuannya! Guru-guru dapat membuat pemerhatian ke atas perkembangan pelajar dari aspek komunikasi dan kepintaran bersosial.

Anak-anak happy. Cikgu-cikgu pun happy!

Catatan Teacher Ummi,
permatahidayahkuantan.blogspot.com

No comments:

Post a Comment